Search

12 delegasi Malaysia ditahan Israel disahkan selamat

October 2, 2025

Info X Reporters

Sepang: Pusat Kawalan Sumud Flotilla Nusantara (SNCC) mengesahkan kesemua 12 delegasi Malaysia yang ditahan oleh Israel berada dalam keadaan selamat.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, sehingga kini semua delegasi masih ditahan di atas kapal masing-masing.

Katanya, SNCC mengesahkan tiada laporan bunyi tembakan dan menafikan spekulasi delegasi Malaysia yang diseksa.

“Kami yakin semua delegasi kita diperlakukan dengan baik kerana apa saja maklumat yang kita terima adalah maklumat yang langsung daripada delegasi Malaysia.

“Kami juga dapatkan maklumat delegasi bukan Malaysia di atas kapal yang kita hubungi serta laporan daripada semua sudut,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Menurutnya, tiga delegasi mengesahkan mereka nampak kapal rejim berpusing dua hingga tiga kali dan seterusnya menembak air yang berkelajuan tinggi untuk menakutkan dan melemahkan semangat.

“Untuk delegasi seramai ini yang mewakili 45 negara, bukan negara Asia sahaja, tetapi juga negara Eropah dan ada negara NATO seperti Turkiye,

“Dan pastinya untuk kali ini antara sebab mereka belum melakukan apa-apa walaupun mereka ada peluang itu kerana dunia sedang melihat.

“Jadi untuk saat ini kita boleh simpulkan keseluruhan delegasi kita dalam keadaan selamat, diyakini, ditahan di atas kapal,” katanya.

Beliau berkata, formasi terkini juga dapat dilihat berubah daripada bulat dan dibuat seolah-olah mengiring untuk diiring keluar untuk ke satu lokasi yang belum diketahui.

Ditanya berkenaan prosedur operasi standard (SOP) membuang telefon ke laut kononnya untuk menyembunyikan maklumat sulit, beliau menafikan perkara itu.

“Ia memang menjadi SOP (prosedur operasi standard) yang telah dilatih ketika mereka di Itali, Barcelona, Tunisia dan Greece.

“That’s why (sebab itu) kalau tengok dalam CCTV kenapa mereka berkumpul di atas dek, mereka angkat tangan untuk menyatakan bahawa tidak bersenjata. Dan sebelum melakukan itu kapten di atas kapal akan memutuskan bahawa adakah masanya untuk mereka campakkan handphone mereka.

“SOP untuk misi ini bertujuan supaya pihak rejim tidak mengambil telefon delegasi, selain mengelak maklumat peribadi dipintas, melihat hal peribadi dan sebagainya,” katanya.