TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes menetak seorang kontraktor dalam kejadian di Kampung Autentik, Tanjung Batu Laut, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum itu, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tetak berkenaan daripada rakan mangsa.
Katanya, suspek berusia 30 tahun itu disyaki menetak seorang lelaki di belakang rumah mertua mangsa, kira-kira jam 1.10 petang, pada 29 September lalu.
“Mangsa adalah seorang kontraktor berusia 40 tahun itu dihantar ke zon merah kecemasan Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Suspek berjaya ditahan di hadapan Unit Kecemasan Hospital Tawau oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh mempunyai tiga rekod lampau termasuk kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 377(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera,” katanya. – Info X