Search

Ardell di kapal Mikeno hampiri Gaza

October 2, 2025

Info X Reporters

BAITULMAQDIS: Kapal Mikeno yang menyertai konvoi Flotila Sumud Global (GSF) dilaporkan semakin hampir ke pesisir Gaza dan dipercayai turut membawa aktivis Malaysia, Ardell Aryana.

Menurut aktivis Turkiye, Erdem Ozveren, kapal itu kini berada kurang 30 batu nautika dari Gaza.

Kenyataan ringkas Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) juga mengesahkan Ardell berada dalam kapal berkenaan bersama aktivis lain.

Setakat ini, seramai 223 aktivis antarabangsa telah ditahan tentera Israel.

GSF melalui X memaklumkan, 15 bot sudah diserang rejim Zionis sejak Rabu, manakala lapan lagi dipercayai turut diserang atau sedang berdepan ancaman sama.

Penjejak armada rasmi menunjukkan 20 kapal diserang tentera Israel, sementara 24 kapal lain masih meneruskan pelayaran ke Gaza.

Konvoi itu membawa bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan, berlayar sejak penghujung Ogos lalu dengan lebih 500 penyokong dari 45 negara.

Israel terus mengetatkan sekatan ke atas Gaza sejak Mac lalu apabila menutup lintasan sempadan serta menyekat penghantaran makanan dan ubat-ubatan, sehingga mendorong kawasan itu berada di ambang kebuluran. – Info X