KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini mengesahkan keanggotaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) tamat selepas kedua-duanya memutuskan bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata hasrat itu disuarakan presiden kedua-dua parti pada Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS di Sri Gaya, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, agenda utama mesyuarat yang berlangsung selama hampir dua jam itu adalah untuk membincangkan dan mengemas kini persiapan gerak kerja GRS menghadapi PRN17 termasuk rundingan agihan kerusi di antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“Dalam mesyuarat itu Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee, menyatakan hasrat parti masing-masing untuk bertanding menggunakan lambang parti sendiri pada PRN17 nanti.
“Mereka memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi yang akan dimuktamadkan di antara GRS dan PH.
“Ini bermakna STAR dan SAPP berkemungkinan akan meletakkan calon di kawasan-kawasan DUN yang juga bakal ditandingi oleh calon-calon dari PH,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.
Bagaimanapun, katanya Hajiji mengingatkan semua parti komponen GRS perlu menghormati persetujuan kerjasama yang diumumkan bersama PH sebelum ini dan menegaskan atas prinsip kesatuan, GRS harus bergerak sebagai satu entiti, dengan semua calon GRS menggunakan lambang yang sama, iaitu lambang GRS.
Masidi berkata, setelah perbincangan secara terbuka dan ikhlas selama hampir dua jam, mesyuarat memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk meletakkan calon menggunakan lambang parti masing-masing dianggap keluar daripada GRS dan calon dari parti terbabit tidak lagi mewakili GRS.

Katanya, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), bersama presiden parti-parti komponen lain iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS), menghormati keputusan STAR dan SAPP untuk bertanding secara solo dalam PRN-17.
“Dengan keputusan dan tindakan itu, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS dengan sendirinya tamat.
“Presiden STAR dan Presiden SAPP turut menyatakan bahawa mereka menghormati pendirian parti-parti komponen lain yang memilih untuk terus kekal bersama GRS dan meneruskan kerjasama strategik dengan PH dalam menghadapi PRN17,” katanya.
Ends