TENOM: Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dicekup dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar daerah ini, semalam.
Operasi yang dijalankan hasil aduan awam dan risikan selama seminggu itu dilakukan secara berasingan di beberapa lokasi tumpuan warga asing.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi JIM Sabah pada Sabtu, operasi bermula awal pagi itu disertai lapan pegawai Pejabat Imigresen Tenom dengan bantuan 10 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tenom.
“Daripada 55 individu yang diperiksa, seramai 12 ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah atau pas yang sah.
“Semua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI, selain memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil.
Katanya, masyarakat juga diseru untuk terus menyalurkan maklumat mengenai kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan mereka bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu keselamatan. – Info X