KOTA KINABALU: Seramai 30 pegawai dan kakitangan Istana Seri Kinabalu, di sini, semalam melafazkan serta menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komitmen menolak amalan rasuah dalam apa juga bentuk.
Majlis yang berlangsung di Dewan Utama, Istana Seri Kinabalu itu dipimpin Setiausaha Sulit kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Izarudin Jalaludin, dengan disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Fuad Bee Basrah.
Dalam ucapannya, Izarudin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada SPRM Sabah atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Beliau turut mengingatkan pegawai dan kakitangannya bahawa rasuah berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Integriti adalah kunci untuk mengelakkan diri daripada terpalit dengan rasuah, maka sentiasalah menjadikan Integriti sebagai amalan dan pedoman,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Sabah, Syamsul Osman; Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Alexander S Kunghi; Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM Sabah, Maysara Mohammad dan Pegawai PenMas SPRM Sabah, Jasni Gayung.
Majlis itu jelas menunjukkan kesungguhan Istana Seri Kinabalu dalam memperkukuh budaya kerja berintegriti selain menyokong usaha SPRM memperluas pelaksanaan IBR di seluruh Sabah. – Info X