Search

GRS bersikap terbuka terhadap parti komponen pilih bertanding solo

October 4, 2025

Info X Reporters

PITAS: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka terhadap parti komponennya yang mahu meninggalkan gabungan itu kerana memilih untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, GRS tidak mendesak parti komponennya untuk meninggalkan GRS, namun jika mahu bertanding solo, terserah kepada parti terbabit untuk membuat keputusan.

Pengerusi GRS bagaimanapun menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan GRS berdasarkan kerjasama baik dalam kalangan parti komponennya, selain sokongan kuat rakyat terhadap gabungan itu.

“InsyaAllah kita akan menang pada pilihan raya nanti. Kita bersama rakan-rakan komponen lain terutama sekali Parti Bersatu Sabah (PBS) masih kukuh dan insyaAllah GRS terus kekal sebagai gabungan yang kuat dan mantap di Sabah.

“Kita mahu teruskan perjuangan ini kerana kita baru separuh jalan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka di perkarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas, di sini, hari ini.

Walaupun tidak menyebutnya, ucapan Hajiji itu dipercayai merujuk kepada tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang menyatakan keputusan bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN17 nanti.

Berikutan keputusan itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan pada Khamis menyatakan bahawa keanggotan STAR dan SAPP dalam GRS tamat.

Perkembangan itu menjadikan GRS kini hanya dianggotai enam parti iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), PBS, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS). – Info C