Search

Liga Super: Kuching City tewaskan Sabah di Likas

October 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC sekali lagi gagal melakar kemenangan apabila tewas 1-0 di tangan Kuching City FC dalam aksi Derby Borneo, Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Gol tunggal Kuching City itu dijaringkan penyerangnya, Jordan Mintah pada minit ke-74.

Pasukan tuan rumah dari babak pertama lagi lebih banyak bertahan di kawasan sendiri berbanding Kuching City yang bermain dengan agresif.

Hanya pada tiga minit pertama perlawanan, pemain Sabah dilihat agak berbahaya kepada pasukan lawan, namun selepas itu, serangan lebih banyak dilakukan pasukan Kuching.

Serangan balas pemain Sabah juga mudah dipatahkan pemain Kuching City, ditambah lagi hantaran bola yang kurang kemas menyebabkan banyak hantaran pemain Sabah terlepas kepada pasukan lawan.

Ketiadaan beberapa tonggak penting Sabah seperti Darren Lok, Daniel Ting, Gabriel Peres dan Miguel Angel Garrido Cifuentes atau Cifu mungkin antara sebab aksi tuan rumah malam ini agak kurang baik berbanding pasukan lawan.

Sabah hanya bernasib baik gawangnya tidak dibolosi gol hasil kecekapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang dapat membaca pergerakan bola dengan baik menyebabkan kedudukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

Sang Badak cuba bangkit pada separuh masa kedua, namun masih berdepan asakan pemain lawan yang tidak memberi ruang kepada Sabah untuk menyerang balas.

Sepanjang 30 minit terakhir perlawanan, pemain Kuching City dilihat mengambil setiap peluang untuk mengasak Sabah menyebabkan pemain tuan rumah lebih banyak berkampung di kawasan sendiri bagi mengawal gawang.

Bagaimanapun, kekebalan pertahanan Sabah membuatkan Kuching City gagal menembusi gawang tuan rumah sehinggalah pada minit ke-74 apabila penyerangnya, Jordan Mintah meledak gol tunggal yang mengecewakan tuan rumah. – Info X