Search

PRN17: Tindakan STAR tinggalkan GRS hanya gimik politik – Warisan

October 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan menyifatkan tindakan terbaharu Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada saat genting menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) sebagai sesuatu yang menimbulkan persoalan besar.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan yang juga Ketua Bahagian Parti Warisan Pensiangan, Mudi Dubing, berkata rakyat, khususnya masyarakat Kadazan-Dusun-Murut-Rungus (KDMR) perlu memahami dengan jelas motif di sebalik tindakan itu.

“Apakah tindakan ini benar-benar lahir daripada perjuangan membela nasib rakyat atau sekadar strategi politik demi kepentingan peribadi dan kedudukan?

“Kita masih ingat bagaimana pada 2018 beliau cuba menonjolkan diri sebagai ‘wira’ menjelang pilihan raya untuk meraih undi rakyat. Namun selepas pilihan raya, beliau tidak teragak-agak bersekongkol dengan pihak yang sebelumnya ditentangnya, pola yang sama sedang cuba dipentaskan semula hari ini.

“Tidak mustahil, selepas PRN kali ini, beliau akan kembali menyertai GRS semata-mata demi memastikan dirinya terus berada dalam kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sejarah politik Sabah sudah berulang kali memperlihatkan corak yang sama menjelang pilihan raya, yang mana parti tertentu membuat gimik keluar masuk gabungan seolah-olah membawa naratif baharu.

Bagaimanapun, katanya selepas pilihan raya, mereka tetap mencari jalan untuk kembali bersekongkol dengan mana-mana parti yang berkuasa dengan tujuan akhirnya hanya untuk memastikan kedudukan politik mereka terus terjamin.

“Tindakan sebegini jelas hanyalah permainan politik lama yang tidak pernah berubah. Malangnya, yang menjadi mangsa adalah rakyat khususnya kaum KDMR yang sekali lagi dijadikan bahan percaturan politik.

“Rakyat dikelirukan dengan kononnya ada perjuangan baharu, sedangkan yang diutamakan hanyalah kepentingan peribadi dan kelompok tertentu.

“Rakyat perlu sedar bahawa perubahan sebenar tidak akan lahir daripada pemimpin yang sanggup memperjudikan masa depan rakyat dengan budaya politik lompat, keluar masuk gabungan dan perebutan kuasa.

“Perjuangan sebenar adalah perjuangan yang konsisten, berprinsip serta berlandaskan visi membangunkan Sabah dan membela kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Mudi berkata, kaum KDMR yang selama ini dijadikan modal politik oleh pihak tertentu wajar menilai dengan matang agar tidak lagi terpedaya dengan taktik lama yang hanya merugikan rakyat.

Jelasnya, Sabah memerlukan kepimpinan yang berani, berprinsip dan tidak tunduk kepada kepentingan peribadi.

“Sudah tiba masanya rakyat Sabah menolak politik gimik dan sandiwara sebegini. Kita mesti berdiri bersama dalam menuntut kepimpinan yang benar-benar ikhlas memperjuangkan hak serta masa depan rakyat dan negeri ini,” katanya. – Info X