Search

Ejen hartanah ditahan edar ganja di Kepayan

October 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang ejen hartanah ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran ganja di sebuah apartment di Kepayan Ridge, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 9 malam itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menyerbu rumah suspek dan menemui pelbagai paket berisi bahan disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 238.33 gram.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemeriksaan di rumah suspek menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 105.64 gram.

Menurutnya, polis turut menemukan dua bekas plastik berisi 26 paket kecil ganja dengan berat keseluruhan 132.69 gram.

“Siasatan awal mendapati suspek mendapatkan bekalan ganja dari Semenanjung, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2,000.

“Setiap kali penghantaran, suspek membeli kira-kira 200 gram ganja yang kemudiannya dijual kepada pelanggan dalam kuantiti kecil lima gram dengan harga RM80 setiap satu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alhusin berkata, siasatan juga mendapati suspek mula aktif mengedar ganja sejak penghujung tahun lalu di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.

“Turut disita dalam operasi itu ialah sebuah kereta Perodua Axia dan motosikal Kawasaki Ninja, selain tiga telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki berusia 28 tanun itu positif ganja,” katanya.

Tambahnya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Info X