KENINGAU: Sebuah kedai serbaneka 99 Speedmart di Kampung Bingkor, di sini, musnah hampir keseluruhan dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau memaklumkan, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 7.54 pagi melalui talian balai.
Sebaik menerima panggilan, sepasukan sembilan anggota bersama empat jentera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira sembilan kilometer.
Kebakaran membabitkan sebuah kedai serbaneka jenis kekal yang musnah 90 peratus termasuk barangan jualan di dalam premis berkenaan.

Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan kaedah ofensif dengan dua aliran serta dua pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran.
Api berjaya dikawal pada jam 9.02 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 pagi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – Info X