Search

Liga Super: Sabah FC perlu buat sesuatu untuk pulihkan pasukan – De Marigny

October 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Daniel Jean-Paul De Marigny mendedahkan banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memperbaiki kelab itu berikutan prestasi mengecewakan Sang Badak pada awal musim ini.

Tanpa menjelaskan apa yang perlu dilakukan Sabah FC, beliau berkata perkara itu adalah asas yang mesti dilaksanakan bagi membina semula kekuatan pasukan.

“Saya rasa memang ada banyak perkara yang Sabah FC perlu lakukan untuk memperbaiki kelab secara keseluruhan. Dengan itu, barulah kita boleh memperbaiki pasukan.

“Saya harap proses ini sedang berjalan dan semua pihak faham akan keperluan itu. Bila perkara asas itu sudah tersedia, barulah kita boleh bina sesuatu.

“Tanpa asas yang kukuh, memang sukar untuk membina apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas aksi Liga Super Sabah menentang Kuching City FC yang menyaksikan pasukannya tewas 0-1 di Stadium Likas, malam tadi.

Antara aksi menarik Sabah FC vs Kuching City.

Dalam aksi Liga Super, Sabah setakat ini hanya melakar tiga seri dan tewas tiga kali termasuk dalam aksi di gelanggang sendiri, malam tadi.

Bagaimanapun, katanya dari segi barisan kejurulatihan dan pemain, semua bekerja keras dan menyokong beliau sepenuhnya dalam mengemudi pasukan pada musim ini.

Mengenai persiapan suku akhir Piala FA menentang Kelantan United FC pada 17 Oktober ini, jurulatih dari Australia itu mengakui perlu melakukan sesuatu untuk memastikan Sang Badak tampil lebih baik selepas ini.

“Apabila anda sedang membina sesuatu, anda perlu bermula dari asas dan satu-satunya perubahan adalah untuk menjadikan pasukan lebih baik dari semasa ke semasa.

“Jika perlu, saya akan buat sedikit pelarasan dari segi situasi perlawanan atau taktikal tetapi buat masa ini, fokus utama saya adalah membina asas yang kukuh, itu perkara paling utama.

“Hari ini (malam tadi) adalah satu langkah yang sangat baik dalam membina asas itu. Saya rasa pemain faham dan sedar apa yang kami sedang lakukan,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting ketika ini ialah proses pemulihan pasukan yang mana pemain akan diberi cuti untuk berehat dan memulihkan diri sebelum kembali beraksi.

Sementara itu, De Marigny menyifatkan Kuching City sebagai pasukan yang bagus kerana menunjukkan permainan yang baik dari segi struktur, disiplin dan mentaliti pemain.

Bagaimanapun, katanya beliau tetap yakin pemain Sabah juga boleh bermain dengan lebih tenang ketika mengawal bola dan mencipta peluang untuk menjaringkan gol ketika perlawanan. – Info X