KOTA MARUDU: Kehadiran kira-kira 8,000 yang membanjiri Dewan Serbaguna Pekan Baru Matunggong, di sini, pada Sabtu membuktikan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bukan parti ‘biasa-biasa’ malahan dilihat mampu memberi saingan sengit pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan pada bila-bila masa.
Program itu merupakan pelancaran jentera PRN17 untuk Kota Marudu yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Matunggong, Bandau dan Tandek.

Ianya dirasmikan Timbalan Presiden KDM yang juga Pengarah Jentera PRN17 parti itu, Datuk Wetrom Bahanda dengan dihadiri pemimpin-pemimpin utama parti itu.
Sebelum ini, ribuan manusia juga hadir pada beberapa siri pelancaran jentera parti itu seperti di kawasan Bongawan, Lumadan serta Paginatan.
“Hari ini (semalam) kita lihat, lebih kurang 8,000 orang yang hadir, dalam dewan penuh hingga ‘melimpah’ ke luar, begitu juga dalam siri pelancaran kita baru-baru ini, di Kelatuan (DUN Bongawan), di Lumadan, di Paginatan, ribuan yang hadir.
“Ini membuktikan, orang ramai mula sedar dengan perjuangan KDM untuk rakyat Sabah, inilah parti tempatan sebenar yang akan menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan selepas PRN17 nanti,” katanya.

Sementara itu, Wetrom yakin KDM akan mencapai keputusan cemerlang di Kota Marudu dengan memenangi ketiga-tiga kerusi DUN di kawasan berkenaan.
Katanya, ia juga berdasarkan keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu ketika dia menumbangkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika itu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
“Saya yakin, dengan kekuatan kita pada ketika ini, Insya-Allah Kota Marudu ini kita akan menang 3-0 (menang di Matunggong, Bandau dan Tandek,” katanya. – Info X
Caption: Seramai kira-kira 8,000 penyokong KDM hadir ke Dewan Serbaguna Pekan Baru Matunggong, pada Sabtu.