SOOK: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup merasmikan cawangan Mikro Agrobank baharu di Sook.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, usaha itu merupakan satu langkah strategik bagi memperluas aksesibiliti perbankan di kawasan pedalaman di Sabah.
Katanya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen Agrobank untuk memperkasakan komuniti luar bandar dengan menyediakan kemudahan kewangan yang lebih mudah diakses.
Jelasnya lagi, perkhidmatan berkenaan dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 31,000 orang penduduk di Sook.
Tambahan pula, katanya, majoriti penduduk di sana terlibat dalam aktiviti pertanian, justeru membuktikan keperluan Agrobank di lokasi strategik ini dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang relevan untuk merancakkan sosioekonomi masyarakat setempat.
“Jarak antara penempatan penduduk di Sook dan kawasan sekitarnya dengan fasiliti perbankan terdekat boleh mengambil masa sehingga satu jam perjalanan, yang menyukarkan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan kewangan harian.
“Oleh itu, dengan adanya cawangan Agrobank di Sook, perkhidmatan kewangan yang lebih dekat dan mudah diakses, sekaligus menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti luar bandar,” katanya.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, beliau percaya bahawa akses kepada perkhidmatan perbankan adalah satu keperluan bagi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan geografi atau latar belakang sosioekonomi.
“Melalui pembukaan cawangan ini, kami komited untuk memastikan tiada siapa yang tercicir dari segi keterangkuman kewangan.
“Ini turut mencerminkan mandat kami dalam memperkasakan golongan unserved dan underserved melalui pelbagai penyelesaian kewangan yang sesuai dan inklusif,” katanya
Beliau turut berkata, cawangan Sook merupakan rangkaian Agrobank yang ke-219 dan ia menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pembukaan akaun simpanan, perkhidmatan pemindahan wang, pembayaran utiliti, produk takaful dan wasiat, kemudahan ATM dan CDM serta khidmat nasihat kewangan mengikut keperluan komuniti tempatan.
Katanya,pembukaan cawangan Agrobank di Sook bukan sahaja membuka peluang kepada komuniti luar bandar untuk mendapatkan akses kewangan yang lebih mudah, tetapi juga memperkukuh usaha kami dalam mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar.
“Agrobank komited untuk terus menjadi peneraju keterangkuman kewangan, memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang sama rata dalam menikmati kemudahan perkhidmatan kewangan,” katanya lagi. – Info X