Search

PRN17: Hajiji utamakan hubungan baik negeri-persekutuan

October 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kekal dengan pendirian untuk meneruskan kerjasama di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Jelasnya, keputusan itu mengambil kira hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasil kerjasama baik itu, katanya membolehkan Sabah mendapat penurunan kuasa dalam sembilan perkara yang dituntut melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Untuk makluman, sekarang kerajaan negeri adalah kerajaan GRS-PH. Hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan begitu baik, yang mana tuntutan kita dalam MA63 semasa PMX inilah kita mendapat sembilan penurunan kuasa diberikan kepada Sabah.

“Jadi ini menunjukkan bahawa hubungan yang baik itu kita perlu teruskan. Lagipun, kerajaan negeri adalah kerajaan GRS-PH, takkan kerjasama ini kita tidak teruskan.

“Kita mesti tahu bahawa hubungan negeri dengan Persekutuan amat penting sekali untuk masa depan Sabah, untuk kemajuan Sabah. Kenapa kita harus gaduh dengan kerajaan Persekutuan? Kerajaan kita juga.

“Di samping kita mementingkan menuntut hak kita dan mempertahankan hak negeri, kita juga harus menjaga kepentingan negara kita, itu kepercayaan saya. Jangan kita jaga kepentingan negeri, kita robohkan kepentingan negara, itu tidak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji sebelum itu ditanya mengenai kerjasama GRS-PH yang menjadi antara sebab Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) membuat keputusan bertanding atas tiket sendiri pada PRN17.

Beliau berkata, kerjasama GRS-PH adalah keputusan bersama yang dibuat kepemimpinan GRS berdasarkan kerjasama sedia ada di antara kedua-dua gabungan itu.

“Kita telah mengadakan mesyuarat dan STAR bersama SAPP telah memilih untuk mereka menggunakan logo mereka sendiri.

“Jadi keputusan kita dalam kepimpinan Majlis Presiden, mana-mana parti dalam GRS yang menggunakan logo sendiri akan dengan sendirinya terkeluar daripada GRS,” katanya.

Katanya, selepas tidak bersama GRS, STAR dan SAPP bebas bertanding di kawasan yang mereka mahu, termasuk kemungkinan ‘berlanggar’ dengan kerusi yang ditandingi GRS dan PH.

Mengenai agihan kerusi GRS-PH, beliau berkata ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan menjelaskan bahawa jentera GRS juga akan membantu PH di kawasan yang ditandingi calon gabungan itu. – Info X