Search

PRN17: Lima penyandang kerusi STAR pilih kekal bersama GRS

October 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lima penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memilih untuk terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mereka membuat keputusan tidak mengikut jejak presiden mereka, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan meninggalkan gabungan berkenaan.

Timbalan Presidennya, Datuk Ellron Angin, berkata beliau bersama empat lagi penyandang kerusi, iaitu Datuk Annuar Ayub Aman (Liawan), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Flovia Ng (Tulid) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) memilih kekal bersama GRS.

“Presiden kami, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan sepatutnya tahu mengenai perkara ini. Kita akan membuat satu kenyataan bersama mengenai perkara ini nanti,” katanya.

Beliau ditemui media selepas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Difahamkan, hari ini, Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau berada di ibu negara bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

Sebelum ini, Jeffrey dilaporkan mahu bertanding menggunakan lambang partinya sendiri pada PRN17, sekali gus menyebabkan keanggotaan STAR dalam GRS tamat.

Difahamkan, lima penyandang kerusi terbabit akan memohon untuk menjadi ahli langsung GRS dan bertanding atas tiket gabungan itu sekiranya dicalonkan semula bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17). – Info X