Search

Maut dirempuh pacuan empat roda selepas motosikal terbabas

October 7, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum dirempuh sebuah pacuan empat roda di Jalan Sabait, Batu 10, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada orang awam sebelum anggota dikerahkan ke lokasi.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan berkenaan sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah pacuan empat roda dari arah bertentangan tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, memandu dengan cermat dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini. – Info X