KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan gabungan itu tidak pernah tewas dalam pilihan raya di negeri ini, termasuk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata apa yang berlaku pada masa itu ialah pengkhianatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap BN.
Katanya, BN Sabah tidak pernah kalah di peti undi atau ditolak rakyat, sebaliknya menjadi mangsa pengkhianatan beberapa pemimpinnya yang melompat parti.
“Sejarah membuktikan bahawa BN Sabah tidak pernah tewas melalui pilihan raya. Kejatuhan kerajaan BN pada 2018 bukan berpunca daripada kehendak rakyat di peti undi, tetapi akibat pengkhianatan ADUN yang melompat parti selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
“Mereka yang melompat itu menolak untuk berdiri bersama kerajaan pusat BN yang pada ketika itu menjadi pembangkang.
“Tindakan itu bukan saja menggugat kestabilan politik Sabah, malah mengkhianati mandat rakyat yang telah memilih BN sebagai parti majoriti melalui proses demokrasi yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Bung Moktar berkata, episod hitam itu harus menjadi pengajaran besar kepada rakyat Sabah agar tidak lagi membiarkan masa depan negeri ditentukan politik lompat parti.
Tegasnya, politik moden bukan lagi soal siapa berkuasa, sebaliknya menekankan soal keabsahan dan kepercayaan.
“Apabila kerajaan bertukar bukan kerana kehendak rakyat, tetapi kerana pengkhianatan mandat, maka yang runtuh bukan sekadar kerajaan, yang runtuh ialah institusi, moral dan maruah politik negeri itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, Sabah kini sedang berdepan apa yang disebut sebagai ‘democratic fatigue’ atau keletihan rakyat terhadap politik yang tidak berprinsip dan tidak konsisten.
Katanya, setiap episod lompat parti, bukan sekadar drama politik, tetapi menjejaskan kontrak sosial antara rakyat dan pemimpin.
“Kerajaan yang lahir daripada pengkhianatan tidak akan mampu menumbuhkan keyakinan. Tanpa keyakinan, tidak akan ada kestabilan yang mampu bertahan,” katanya.
Bung Moktar berkata, kestabilan bukan lahir daripada slogan, tetapi daripada integriti kepimpinan dan kekuatan sistem.
Jelasnya, UMNO dan BN membawa dua elemen utama dalam pentadbiran moden iaitu konsistensi dasar dan kesinambungan institusi.
“Pembangunan tidak boleh dibina di atas kekacauan politik. Pelaburan memerlukan kestabilan, dasar memerlukan kesinambungan, dan rakyat memerlukan keyakinan.
“Cukuplah dengan politik percubaan. Sabah memerlukan keteguhan dasar, kepimpinan berwawasan dan pentadbiran yang berpaksikan akal,” katanya. – Info X