KOTA KINABALU: Kecekapan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki dalam operasi di kawasan Inanam, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, suspek berusia 28 tahun ditahan bersama lebih 167 gram dadah jenis ekstasi.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, bertindak atas maklumat, pasukan operasi berjaya menahan suspek di kawasan rumah kedai.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati suspek menyerahkan satu plastik berisi beberapa bungkusan dadah jenis ekstasi.
“Pasukan operasi turut merampas telefon pintar jenis iPhone 15 Pro milik suspek bagi membantu siasatan.
“Dengan dipandu arah oleh suspek, pasukan operasi kemudian menyerbu sebuah bilik sewa di tingkat tiga bangunan di Inanam Township dan berjaya menemui beberapa lagi bungkusan dadah jenis ekstasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mula aktif menjalankan kegiatan pengedaran jus, pil ekstasi dan ketamin sejak September lalu bagi pasaran sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.
“Suspek juga dipercayai memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki di kawasan Likas dan urusan jual beli dilakukan di dalam kereta,” katanya.
Alhusin berkata, kejayaan ini menunjukkan komitmen berterusan JSJN Sabah dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah di negeri ini.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah akan terus diperhebat di seluruh negeri. – Info X