KOTA KINABALU: Objek menyerupai bom tangan yang mencetuskan kekecohan kecil di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), petang tadi, disahkan palsu dan dipercayai hanyalah mainan kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan objek mencurigakan itu di kawasan pintu pelepasan antarabangsa kira-kira jam 2 petang.
“Pemeriksaan lanjut oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati objek berkenaan bukan bahan letupan sebenar, sebaliknya dipercayai mainan kanak-kanak yang menyerupai bom tangan.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana objek itu boleh diletakkan di kawasan awam yang menjadi tumpuan orang ramai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, objek berkenaan ditemui diletakkan di atas tiang penghadang tingkat tiga oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak keselamatan lapangan terbang.
Pasukan keselamatan KKIA kemudian mengosongkan kawasan berhampiran dan menutup laluan masuk ke pintu pelepasan bagi memastikan keselamatan penumpang serta orang awam.
Beberapa anggota polis tiba di lokasi bagi melakukan pemeriksaan awal sebelum menghubungi pasukan UPB untuk tindakan lanjut.
Dua jentera bomba turut digerakkan ke lapangan terbang sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.
Menurut sumber, keadaan di lokasi sedikit cemas apabila penumpang diarahkan menjauhkan diri dan kawasan berkenaan dipasang pita keselamatan.
Sepasukan anggota UPB tiba sekitar jam 3 petang dan berjaya mengeluarkan objek itu dari lokasi pada jam 3.24 petang untuk siasatan lanjut.
Tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan, dan operasi lapangan terbang kembali berjalan seperti biasa selepas kawasan berkenaan disahkan selamat. – Info X