KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEKPAS) dijangka bakal membuka peluang lebih besar dalam bidang pelancongan antara Sabah dan Arab Saudi serta negara-negara Timur Tengah.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama serta saling menyokong pembangunan dan promosi industri pelancongan mahupun kebudayaan yang mampan, kompetitif dan inklusif.
“Sudah tiba masanya Sabah melihat potensi pelancongan khususnya di negara Timur Tengah, seterusnya mempelbagaikan pakej-pakej menarik bagi menyemarakkan lagi industri pelancongan dan kebudayaan untuk kepentingan bersama.
“Berikutan daripada polisi “sifar Covid” China yang menghadkan perjalanan rakyatnya ke luar negara, pemain industri pelancongan kini perlu meneroka pasaran serantau lain dan tidak hanya bergantung kepada pasaran China semata-mata.
“Kita perlu mencari alternatif baru dengan fokus kepada pasaran lain yang sudah membuka pintu sempadan, termasuklah Arab Saudi dan amat positif tentang impaknya.
“Bagaimanapun, beberapa perkara yang kini sedang diteliti termasuk usaha untuk menarik syarikat penerbangan asing untuk melakukan penerbangan terus daripada Arab Saudi ke Kota Kinabalu.
“Hal ini bagi memudahkan pelancong dari negara itu untuk datang ke Sabah tanpa perlu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya sempena kunjungan hormat Pengarah Urusan ASEAN Travel Saudi Arabia, Fahad Alotaibi di Wisma Tun Fuad Stephen, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Jafry turut berhasrat untuk membawa pengusaha restoran berkonsepkan makanan Arab dan timur tengah ke negeri ini agar pelancong mudah mendapatkan makanan yang sesuai dengan citarasa mereka.
Menurutnya, beliau juga mencadangkan semua pemain industri pelancongan agar mencuba insiatif baru dalam mewujudkan Pelancongan Mesra Muslim (MFT).
“Sebagai rekod, Malaysia tersenarai dalam lima negara terbaik bagi destinasi pelancongan mesra Muslim selain Turki, Arab Saudi, UAE dan Iran.
“Saya yakin dengan kelebihan Sabah yang kaya dengan keindahan alam semula jadi mampu memastikan pelancongan mesra Muslim akan menjadi “game changer” dalam industri pelancongan di Sabah,” katanya. – Info X