LAHAD DATU: Dua nelayan berdepan detik cemas selepas bot pam dinaiki mereka tiba-tiba terbakar di bahagian enjin ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Perikanan Lahad Datu, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu disedari pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu yang kebetulan berada berhampiran selepas selesai menjalankan operasi di perairan Telukan.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, anggotanya bertindak pantas memberi bantuan sebaik mengesan kepulan asap dan api dari bot berkenaan.
“Pasukan segera menghampiri lokasi dan memberikan bantuan awal bagi mengawal api serta memastikan dua individu di atas bot, dikenali sebagai Ishara Mansor dan Mizfar, berada dalam keadaan selamat.
“Api berjaya dikawal hasil tindakan cepat anggota di lokasi sebelum bot terbabit diiringi bersama sebuah bot tahanan hasil operasi ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam masa sama, Dzulfikhar menasihatkan komuniti nelayan supaya sentiasa memeriksa keadaan bot masing-masing, termasuk enjin, pendawaian dan penyimpanan bahan api bagi mengelakkan risiko kebakaran ketika berada di laut.
Sementara itu, katanya dalam operasi sama, sebuah vesel pukat jerut turut ditahan selepas dikesan beroperasi terlalu hampir dengan daratan iaitu pada jarak hanya 0.9 batu nautika selatan Tanjung Melandong.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan seorang tekong tempatan berusia 32 tahun bersama dua kru tempatan berumur 18 dan 31 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel terbabit melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan.
“APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha nelayan yang melanggar syarat lesen, terutamanya mereka yang beroperasi di kawasan larangan,” katanya.
Dzulfikhar berkata, peraturan jarak operasi ditetapkan bagi melindungi ekosistem marin serta memastikan sumber perikanan negara kekal mampan.
“APMM turut menyeru komuniti maritim menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut melalui talian 999 atau WhatsApp 016-9305727 (Zon Maritim Lahad Datu) bagi tindakan segera,” katanya. – Info X