Search

Tiga blok bangunan sekolah agama musnah dijilat api

October 12, 2025

Info X Reporters

TAMBUNAN: Tiga blok bangunan di sebuah sekolah agama di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi, membabitkan dua blok kelas dan satu kuarters guru.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, dua bangunan kelas termasuk bilik guru jenis tidak kekal terbakar 100 peratus, manakala kuarters guru jenis kekal terbakar sebanyak 50 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Penolong Penguasa Bomba Mitchell Francis George berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 5.23 petang, sepasukan 18 anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.

“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran dan empat pancutan secara ofensif serta dua aliran salur bantu mula menggunakan teknik defensif bagi mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran.

“Sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan sekolah agama di Tambunan. – Pix/Bomba

Menurutnya, operasi turut dibantu empat anggota dari BBP Keningau dan Bomba Sukarela Kampung Tangaban.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.15 petang dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

“Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X