Search

Inkues kematian Zara: Arwah pernah beberapa kali disoal siasat senior sebelum 15 Julai lalu – saksi

October 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir sudah pernah dipanggil beberapa kali oleh pelajar senior jika ada kes membabitkan arwah di asrama.

Perkara itu dijelaskan saksi kanak-kanak ke-11 ketika prosiding hari ke-21 inkues kematian arwah Zara di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini, pada Isnin.

Saksi berkenaan dikatakan melihat arwah dalam keadaan sedih, kecewa dan ‘stress’ setiap kali selesai dipanggil pelajar senior yang dikenali sebagai kumpulan ‘Circle 19’ itu.

Peguam mewakili ibu arwah, Rizwandean M Borhan, berkata saksi kanak-kanak berkenaan menjelaskan bahawa dia pernah berjumpa Zara sebanyak dua tiga kali ketika arwah dalam keadaan itu.

“Saksi berkata bahawa Zara sudah pernah dipanggil oleh pelajar senior beberapa kali sebelum 15 Julai lalu. Selepas dipanggil oleh senior, Zara dalam keadaan sedih, kecewa dan stress.

“Beliau pernah berjumpa Zara sebanyak dua hingga tiga kali di bilik Zara dan meminta maaf kepada Zara bagi pihak senior pelajar Circle 19.

“Saksi ini mengatakan bukan sahaja Zara yang dia jumpa dan meminta maaf bagi pihak senior, malah saksi juga berbuat sedemikian kepada pelajar junior lain selepas mereka dipanggil oleh kumpulan pelajar senior,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ringkasan prosiding kepada media selepas selesai inkues, hari ini.

Rizwandean berkata, saksi kanak-kanak itu menjelaskan bahawa dia berjumpa Zara selepas arwah dipanggil oleh pelajar Circle 19 dan meminta maaf dengan Zara kerana beliau kasihan melihat keadaan Zara selepas dipanggil pelajar senior kumpulan Circle 19.

Katanya, saksi juga memberitahu mahkamah bahawa dia pernah beberapa kali memujuk Zara selepas dipanggil kumpulan pelajar senior kerana saksi mengaku pernah mengalami dan berada dalam situasi yang dilalui arwah Zara.

Saksi katanya, menjelaskan jika berlaku kehilangan barang di asrama, kebiasaannya terdapat kumpulan pelajar senior daripada Circle 19 yang akan berjumpa sendiri dan bertanya pelajar junior yang disyaki.

“Kebiasaannya kumpulan pelajar senior Circle 19 ini akan memanggil pelajar junior kalau ada yang disyaki mencuri secara berkumpulan. Menurut ingatan saksi, perkara ini sudah berlaku beberapa kali,” katanya.

Rizwandean berkata saksi mengaku tidak pernah menyertai kumpulan pelajar senior terbabit dan menyatakan bahawa setiap ‘batch’ pelajar di sekolah mempunyai kumpulan pelajarnya sendiri.

“Saksi mengatakan Circle 19 ini adalah kumpulan pelajar yang terbesar dalam ‘batch’ saksi. Saksi ini juga mengesahkan kumpulan Circle 19 ini mempunyai ketua kumpulan.

“Saksi mengatakan ketika beliau pelajar junior, wujud juga kumpulan pelajar senior seperti kumpulan Circle 19 yang juga biasa memanggil dan berjumpa pelajar junior,” katanya.

Katanya, saksi juga mengaku bahawa bukan kebiasaan untuk pelajar menyelongkar almari junior untuk kes kecurian dan mengeluarkan kata-kata kesat atau memaki pelajar junior.

“Saksi berpandangan bahawa untuk sebarang kes kecurian di kalangan pelajar junior, dia sendiri atau pelajar junior tersebut akan melaporkan kepada guru untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mengenai kejadian sebelum arwah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada awal pagi 16 Julai lalu, Rizwandean berkata, saksi kanak-kanak berkenaan mendapat tahu dari pelajar lain bahawa Zara dipanggil pelajar senior.

Katanya, saksi memberitahu koroner bahawa arwah Zara dipanggil pelajar senior sekitar jam 10 malam hingga 11 malam, 15 Julai lalu untuk disoal berhubung kehilangan kad bank dan pin bendera milik pelajar lain.

“Saksi berkata ramai pelajar asrama tahu dan kecoh mengenai Zara dipanggil kumpulan pelajar senior Circle 19 ke sebuah bilik. Saksi berkata dia pergi ke hadapan bilik di mana Zara disoal oleh pelajar senior kerana ingin meminjam kasut.

“Seingat saksi, masa ketika itu jam 11 malam ke atas kerana lampu bilik sudah ditutup. Semasa melalui koridor di hadapan bilik Zara, saksi melihat seorang pelajar junior yang mengeluarkan kata-kata kesat, ‘itulah mencuri lagi’, ‘pukimak anjing’.

“Menurut saksi, beliau mendengar kata-kata nada pelajar junior dengan kuat, jelas dan dalam keadaan marah. Saksi diberitahu oleh seorang pelajar junior bahawa pelajar junior lain menyelongkar barang-barang Zara untuk mencari barang yang hilang,” katanya.

Rizwandean dibantu peguam Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu arwah, Noraidah Lamat. – Info X