Search

Reban ayam jadi ‘makmal’ ketum

October 14, 2025

Info X Reporters

RANAU: Taktik seorang lelaki menjadikan reban ayam sebagai tempat memproses air ketum terbongkar selepas diserbu sepasukan polis di Kampung Dumpiring, Kundasang, di sini, semalam.

Suspek berusia 44 tahun itu ditahan pada jam 2 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau selepas polis menerima maklumat berkaitan kegiatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, hasil pemeriksaan di reban berkenaan menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.

“Antara barangan yang dirampas ialah satu besen biru berisi 24 botol plastik disyaki air ketum, satu periuk aluminium, dua dapur masak, satu tong gas, satu kaki dapur besi serta 12 liter lagi cecair ketum.

“Pasukan serbuan turut menemui satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi satu kilogram serbuk ketum dan satu kotak polisterin di kawasan stor di belakang rumah suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Botol berisi cecair disyaki air ketum yang dirampas di Kundasang.

Menurutnya, semua barang kes dirampas untuk siasatan lanjut manakala suspek yang tidak bekerja itu dibawa ke pejabat BSJN IPD Ranau untuk tindakan susulan.

“Soal siasat turut dilakukan bagi mengesan rangkaian pengedaran serta sumber bekalan daun ketum yang diperoleh suspek

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki dan memproses bahan larangan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, beliau berkata polis turut menjalankan pemeriksaan di tiga premis pusat hiburan di daerah ini, malam tadi bagi tujuan pencegahan jenayah dan penguatkuasaan lesen hiburan.

Pasukan operasi menjalankan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Ranau.

“Pemeriksaan keseluruhan seramai 23 pelanggan serta tiga penjaga premis dan semua pekerja dan pelanggan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, dan tiada sebarang barang salah atau individu dikehendaki ditemui.

“Tiada tangkapan atau rampasan dilakukan dalam operasi yang dijalankan antara jam 9.30 hingga 10.37 malam itu, yang bertujuan memastikan semua pusat hiburan mematuhi undang-undang serta beroperasi dengan teratur,” katanya. – Info X