PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya belum membuat keputusan sama ada mempertahankan atau tida kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau masih mempertimbangkan perkara itu dan tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan walaupun DUN sudah dibubarkan.
Beliau juga enggan mendedahkan parti yang diwakilinya jika membuat keputusan untuk bertanding tetapi mengakui selesa bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan sebelum ini.
“Saya timbangkan untuk tanding, nanti akan kita umumkan. Kita timbangkan sebab masih banyak lagi rundingan antara parti, tidak perlu tergesa-gesa, yang penting kita masih buat kerja di lapangan,” katanya ditemui media selepas menyempurnakan Kursus Perdana Pra Perkahwinan Islam di sini, hari ini.
Penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat itu ditanya mengenai pendiriannya menjelang PRN17, sama ada mahu bertanding atau tidak menggunakan logo parti lain selepas UMNO – Barisan Nasional (BN) enggan mencalonkannya.
Ia berikutan keahlian UMNO Shahelmey yang digantung selama enam tahun sejak 2023 selepas menyokong GRS dan kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor apabila UMNO Sabah membuat keputusan menarik sokongan terhadap GRS kerana hilang kepercayaan terhadap Hajiji pada Januari 2023.
Mengulas mengenai kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mencabarnya bertanding menentang BN, Shahelmey menyifatkan perkara itu bukan amalan dalam pilihan raya.
“Pilihan raya ini tujuannya kita ingin dapatkan mandat daripada rakyat, bukan cabar-mencabar. Kita pulangkan kepada rakyat untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka,” katanya.
Ditanya sama ada beliau mahu mempertahankan kerusi Tanjung Keramat jika bertanding semula, Shahelmey berkata keputusan itu juga masih dipertimbangkan dengan mengambil kira maklum balas penyokongnya dan pengundi Tanjung Keramat.
“Kita tengok maklum balas penyokong dan pengundi Tanjung Keramat, jadi tunggulah sabar, jangan tergopoh-gapah,” katanya.
Malam tadi, Bung Moktar dalam sidang medianya mengulangi pendirian beliau tidak mencalonkan Shahelmey pada PRN17 kerana dianggap sebagai pengkhianat parti.
Pada Sabtu lalu, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, mengakui bahawa Shahelmey dan seorang lagi yang senasib dengannya, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy ada memaklumkan keinginan mereka untuk bertanding atas tiket GRS pada pilihan raya nanti.
Katanya, GRS tiada halangan untuk menerima dua Ahli Parlimen yang digantung keahlian dalam UMNO itu untuk dicalonkan semula di kerusi DUN yang disandang masing-masing pada PRN17. – Info X