SEMPORNA: Seorang penjawat awam ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok tanpa cukai bernilai lebih RM190,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Tiga, Jalan Kabogan, di sini, semalam.
Serbuan dilakukan Task Force Perisikan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan bantuan Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter (Op Taring Alpha 1).
Pemangku Komander Briged Sabah PGA, Asisten Komisioner Ahmad Radzi berkata, serbuan dijalankan hasil risikan yang mendapati suspek sedang memunggah beberapa beg plastik hitam dari sebuah rumah ke dalam bonet kereta jenis Toyota Camry di Kampung Bukit Tiga, Jalan Kabogan.
Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dan rumah suspek menemui sejumlah besar rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai.
“Antara barangan yang dirampas ialah rokok tanpa cukai pelbagai jenama, sebuah kereta, dua unit telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan.
“Pasukan bertindak menahan lelaki terbabit dan membuat rampasan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM192,600,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek yang juga penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di Sabah ditahan untuk siasatan lanjut, manakala semua rampasan diserahkan kepada Cawangan Jenayah IPD Semporna untuk tindakan lanjut.
“PGA akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barangan terkawal di kawasan tanggungjawabnya, selaras dengan peranan Pasukan Gerakan Am dalam mengekang jenayah rentas sempadan dan menjaga keselamatan negara,” katanya. – Info X