PAPAR: Seorang lelaki berusia 27 tahun berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya terbakar selepas merempuh tiang lampu di pekan Papar berhampiran Public Bank, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, mangsa yang memandu Perodua Myvi sempat keluar menyelamatkan diri sebelum kenderaan berkenaan musnah terbakar sepenuhnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.51 pagi sebelum sepasukan anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian, kereta berkenaan didapati terbakar 100 peratus dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3 pagi,” katanya.
Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 3.28 pagi selepas pasukan memastikan keadaan selamat. – Info X