KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas melecur ketika menyelamatkan diri selepas rumahnya musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Pangkalan Abai, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa warga emas berusia 76 tahun itu dilaporkan melecur di bahagian muka dan bahu akibat bahang api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 232 meter persegi yang terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman terus dijalankan menggunakan kaedah “Offensive” dua aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan sumber air dari jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang wanita dilaporkan melecur sedikit di muka sebelah kiri dan bahu akibat bahang api dan mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba.
Katanya, Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rawatan selanjutnya.
“Komander Operasi kemudiannya membuat pemeriksaan di lokasi kejadian untuk memastikan tiada bahaya lain dan seterusnya operasi dilaporkan tamat sepenuhnya pada jam 8.55 malam,” katanya. – Info X