KOTA KINABALU: Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi beberapa siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan sekitar bandaraya ini dalam tempoh dua hari, sejak Selasa lalu.
Operasi yang dinamakan Ops Selera, Ops Mahir dan Ops Sapu itu dilaksanakan hasil aduan awam serta maklumat risikan, dengan tumpuan di beberapa kawasan tumpuan warga asing sekitar bandar raya.
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi JIM Sabah pada Khamis, operasi yang dijalankan bermula jam 11.30 pagi hingga 3.00 pagi pada 14 dan 15 Oktober itu membabitkan 25 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu.
“Hasil pemeriksaan terhadap 54 individu, seramai 29 orang ditahan terdiri daripada 12 warga Filipina dan 17 warga Indonesia kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa di negara ini,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, semua tahanan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan telah dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Katanya lagi, JIM Sabah akan terus mempergiatkan usaha membanteras kehadiran PATI di negeri ini serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji warga asing tanpa izin.
“JIM Sabah juga menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI di kawasan masing-masing bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan segera,” katanya. – Info X