Search

PRN17: Calon PN mesti berwibawa, berakhlak, berjiwa rakyat – Aliakbar

October 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) Sabah menetapkan tiga ciri calon, iaitu berwibawa, berakhlak dan berjiwa rakyat untuk mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Naib Pengerusi PN Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata ciri-ciri itu penting sebagai asas untuk menjadi wakil rakyat yang bersih, bebas rasuah dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“PN Sabah komited menampilkan calon terbaik yang berwibawa, berakhlak dan berjiwa rakyat sekali gus menawarkan wakil rakyat yang bersih, bebas rasuah serta kompeten dalam melaksanakan amanah kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas pengumunan tarikh penting PRN17 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di sini, pada Khamis.

PN sebelum ini dilapor menyasarkan untuk bertanding di 36 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Aliakbar yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah, berkata parti itu komited menghadapi PRN17 bersama rakan komponen dalam gabungan PN di Sabah.

“PAS Sabah menegaskan komitmen untuk bersama rakan-rakan dalam gabungan PN menghadapi pilihan raya ini dengan tekad memperjuangkan keadilan, integriti pentadbiran dan pembelaan rakyat di Sabah,” katanya.

Katanya, jentera PAS dan PN komited menghadapi PRN17 yang dijadualkan pada 29 November depan dengan penuh disiplin, kesungguhan dan semangat perjuangan.

Setakat ini, Aliakbar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik bagi DUN Ke-16 Sabah, dijangka bertanding di kerusi DUN Karambunai berdepan penyandangnya, Datuk Yakub Khan dari Barisan Nasional (BN). – Info X