Search

255 PATI Indonesia dihantar pulang ke negara asal

October 17, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seramai 255 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal Feri Tawau, semalam, selepas selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan imigresen.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kumpulan terbabit terdiri daripada 223 lelaki, 27 wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan berusia antara sembilan hingga 72 tahun.

Katanya, pemindahan itu dilakukan oleh JIM Sabah melalui Program Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal yang melibatkan penghantaran melalui laut dari Depot Imigresen Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan feri Francis Express dan Labuan Express.

“Semua tahanan ini dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Mereka telah menjalani hukuman penjara dan seterusnya dihantar pulang setelah lengkap dokumentasi perjalanan masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua PATI terbabit turut akan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia semula mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.

“Sehingga kini, bagi tahun 2025 sahaja, seramai 1,751 tahanan PATI warga Indonesia direkodkan sudah pulang ke negara asal, menjadikan jumlah keseluruhan 8,328 warga asing berjaya dipindahkan sepanjang pelaksanaan program ini,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program pemindahan tahanan warga Indonesia bergantung kepada kesegeraan pengeluaran Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) oleh pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI).

“JIM Sabah amat menghargai kerjasama dan komitmen pihak kedutaan serta konsulat bagi memastikan kebajikan tahanan sentiasa terjaga sepanjang proses pemindahan,” katanya.

Tambahnya, operasi penghantaran itu merupakan sebahagian daripada tindakan berterusan JIM Sabah bagi mengelakkan tahanan ditempatkan terlalu lama di depot imigresen.

“Jabatan Imigresen Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas dan kemudahan diberikan.

“Tindakan tegas termasuk pendakwaan akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah, selain individu yang melanggar syarat pas atau permit,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan majikan dan masyarakat agar hanya mengambil pekerja asing melalui saluran sah dan mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Jabatan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini,” katanya. – Info X