KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) menyifatkan tempoh panjang di antara pembubaran DUN dengan tarikh Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17) pada 29 November depan sebagai satu ‘sejarah’ dalam pilihan raya di negeri ini.
Presidennya, Datuk Seri Yong Teck Lee, berkata tempoh panjang selama 39 hari dari pembubaran DUN hingga hari penamaan calon tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Sabah sejak tempoh maksimum dari pembubaran ke hari pengundian dikurangkan daripada 90 hari kepada 60 hari pada 1980-an.
Katanya, tempoh dari tarikh pembubaran hingga hari pengundian pula ialah 53 hari, hampir mencapai had maksimum 60 hari yang dibenarkan dalam Perlembagaan Sabah.
Beliau merumuskan situasi itu mungkin disebabkan berlaku masalah yang memerlukan penyelesaian lebih panjang dalam kalangan parti mewakili kerajaan.
Saya hanya boleh menganggap bahawa pemimpin tertinggi parti-parti dari Malaya, khususnya PKR, memerlukan lebih banyak masa untuk menyelesaikan masalah dalaman serta perpecahan yang berpunca daripada pertikaian pencalonan.
“Kemungkinan juga, pemimpin Persekutuan termasuk Perdana Menteri mahu mempunyai lebih banyak masa untuk membuat persediaan menghadapi pilihan raya Sabah sehingga selepas Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur yang dijadualkan pada 26 dan 27 Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas penetapan tarikh penting PRN17 yang diumumkan SPR pada Khamis bermula dengan tarikh penamaan calon pada 15 November, disusuli pengundian awal pada 25 November dan pengundian biasa pada 29 November depan.
Bekas Ketua Menteri itu berkata dengan kerajaan Sabah kini berfungsi sebagai ‘caretaker’ dan sektor swasta mengambil sikap ‘ditangguhkan sementara’ sehingga pilihan raya selesai, tempoh penantian selama hampir dua bulan akan melemahkan aktiviti ekonomi negeri.
Keadaan itu katanya memberi kesan negatif terhadap ekonomi Sabah atau dalam erti kata lain, kepentingan Sabah sekali lagi kelihatan seolah-olah dikompromi.
Sementara itu, beliau berkata bagi parti yang berdepan masalah dalaman serius, terutama PH-PKR dan DAP, masa tambahan antara sekarang dan hari pengundian mungkin menjadi peluang keemasan bagi pelbagai pihak dan untuk saling menjatuhkan antara satu sama lain dan mengheret GRS bersama.
“Sebaliknya, bagi parti tempatan yang lebih kompak, teratur dan berdisiplin, masa tambahan ini boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh jentera pilihan raya serta mempertingkatkan perpaduan sesama parti tempatan Sabah.
“SAPP akan menggunakan tempoh kempen yang panjang untuk mendekati rakyat secara langsung. SAPP akan menggunakan tempoh panjang antara sekarang dan hari pengundian untuk mengatasi pelbagai halangan yang dihadapi oleh parti tempatan.
“Antaranya kekangan akses kepada media arus perdana, kekurangan sumber kewangan dan kelemahan dari segi sokongan logistik,” katanya.
Bekas ADUN Likas itu, berkata SAPP dan parti tempatan seperti STAR perlu bergantung sepenuhnya kepada sokongan rakyat tempatan.
“Memandangkan media arus perdana dikawal oleh kerajaan Persekutuan, manakala media sosial pula dibanjiri oleh cybertrooper dari Malaya yang jauh lebih besar jumlahnya, SAPP akan menumpukan usaha kepada rangkaian tempatan, pengetahuan tempatan serta pertemuan bersemuka dengan rakyat.
“Sentuhan peribadi melalui pertemuan mata ke mata ialah cara terbaik untuk menunjukkan keikhlasan perjuangan kita. Menteri-menteri Persekutuan yang terbang masuk dan keluar dari Sabah bersama proksi tempatan mereka mungkin hanya akan dilihat sebagai pelancong politik dalam misi memancing undi,” katanya. – Info X