Search

Punca kecederaan murid di Sipitang disebabkan salah faham

October 17, 2025

Info X Reporters

SIPITANG: Kejadian membabitkan seorang murid perempuan yang cedera di kepala selepas terkena tali pinggang oleh seorang murid lelaki di sebuah sekolah di sini, semalam berpunca daripada salah faham antara kedua-dua murid terbabit.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintenden Awang Anak Suanda berkata, pihaknya menerima menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku di sebuah sekolah di Sipitang.

“Siasatan awal mendapati berlaku salah faham antara kedua-dua murid sebelum menyebabkan murid perempuan itu mengalami kecederaan di kepala dalam kejadian sekitar jam 7.40 pagi.

“Polis memandang serius insiden ini dan akan memanggil saksi-saksi berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan bagi tindakan lanjut.

Awang turut menegaskan bahawa sebarang pendedahan atau penyebaran maklumat berkaitan kanak-kanak melalui platform media sosial adalah satu kesalahan serius mengikut Seksyen 15(1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat sedemikian demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak.

Terdahulu, gambar seorang murid perempuan berseragam sekolah dengan kesan darah di kepala tular di media sosial dan mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna internet.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah sekolah rendah di daerah ini sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan. – Info X