Search

Kerajaan Persekutuan diperintah semak semula kelayakan hasil 40 peratus Sabah

October 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan hari ini diperintah membuat semakan semula bersama kerajaan negeri berhubung kelayakan hasil 40 peratus yang sepatutnya diberi kepada Sabah.

Perintah itu selepas Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan semakan kehakiman difailkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) berkaitan hak perlembagaan Sabah untuk menuntut 40 peratus hasil dikutip dari negeri ini.

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid yang membuat keputusan itu antara lain membenarkan perintah mandamus oleh SLS di perenggan 112 dalam lampiran 101 dengan pindaan di perenggan 3 (a).

Mahkamah membenarkan perintah mandamus untuk mengarahkan kerajaan persekutuan membuat satu lagi semakan bersama dengan kerajaan negeri mengikut peruntukan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ia bagi memastikan kerajaan persekutuan menjadikan kelayakan 40 peratus kepada kerajaan Sabah mengikut Perkara 112C yang dibaca dengan subseksyen (1) dalam Seksyen 2 Bahagian IV Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan untuk setiap tahun kewangan bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Mahkamah memberi tempoh 90 hari bagi melaksanakan perintah mandamus itu dan 180 hari bagi mencapai satu perjanjian dari tarikh perintah itu dikeluarkan.

Bagi mencapai keputusan itu mahkamah berpandangan bahawa pihak SLS berjaya membuktikan yang perintah semakan kedua oleh kedua-dua kerajaan untuk mereka menimbang dan membuat geran khas kepada Sabah sebagai tidak mematuhi undang-undang dan ultra vires, melangkaui kuasa yang diamanahkan kepada kedua-dua kerajaan.

“Ia adalah tidak mematuhi undang-undang di pihak kerajaan Persekutuan untuk membuat geran khas di bawah Jadual Ke-10 kepada kerajaan Sabah.

“Tindakan seumpama itu adalah melanggar undang-undang dan tidak rasional, mencabul Perlembagaan Persekutuan dalam konteks semaman kehakiman ini,” katanya.

Pada Jun 2022, SLS memfailkan satu permohonan bagi memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap kerajaan persekutuan.

SLS menamakan kerajaan Malaysia dan kerajaan Sabah sebagai responden pertama dan kedua dalam semakan kehakiman berkenaan.

Pada November 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan SLS meneruskan prosiding semakan kehakiman sebelum kerajaan persekutuan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan semakan itu.

Kemudian pada Jun 2024, Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan persekutuan, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan SLS meneruskan prosiding semakan kehakiman.

Kerajaan persekutuan sekali lagi memfailkan permohonan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, namun pada Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan berkenaan.

Berikutan itu, perkara berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi prosiding pendengaran sehingga keputusan dibuat hari ini.

SLS diwakili peguam Dr David Fung, Jeyan Marimuttu dan Janice Lim, manakala kerajaan Persekutuan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi bersama Peguam Persekutuan, Nur Atirah Aiman Rahim dan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki.

Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Soh bersama Peguam Negeri, Mohd Saifurrazee Hussin, Devina Teo dan Roland Alik pula mewakili kerajaan negeri. – Info X