KOTA KINABALU: KTI Landmark Berhad (KTI) menafikan laporan media yang mendakwa syarikat itu telah memperoleh kontrak bernilai RM70 juta bagi projek pembangunan semula Wisma Budaya di Kota Kinabalu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kemarin, KTI menjelaskan bahawa pengumuman yang dibuat kepada Bursa Malaysia pada 14 Oktober 2025 hanya merujuk kepada penerimaan Surat Niat (Letter of Intent / LOI) daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bersama badan berkanun yang berkaitan.
“LOI tersebut tidak membentuk sebarang penganugerahan kontrak yang mengikat. Ia hanya menjadi asas kepada perbincangan dan rundingan lanjut, tertakluk kepada syarat-syarat dan juga pemeteraian perjanjian muktamad,” jelas syarikat itu.
KTI turut menegaskan bahawa setakat ini, tiada sebarang kontrak yang telah dianugerahkan kepada syarikat bagi projek berkenaan. Sebarang kenyataan yang bercanggah dianggap sebagai tafsiran yang salah terhadap Bursa Malaysia.
Syarikat itu juga memberi jaminan akan terus komited terhadap pendedahan maklumat secara telus dan akan membuat pengumunan rasmi sekiranya terdapat sebarang perkembangan yang penting.
“Kami menghargai kefahaman orang awam dan para pelabur serta menyeru semua pihak untuk merujuk kepada mengumuman yang rasmi di laman web Bursa Malaysia bagi mendapatkan maklumat yang tepat,” kata syarikat itu. – Info X