KOTA KINABALU: Taktik licik seorang lelaki menggunakan bungkusan pos laju untuk mendapatkan bekalan ganja dari Semenanjung Malaysia tumpas selepas dia ditahan polis dalam serbuan di Taman BPL, Jalan Penampang, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.25 petang itu, suspek berusia 40 tahun yang bekerja sebagai penyelam ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas menerima maklumat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia berhubung satu bungkusan mencurigakan.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil siasatan mendapati bungkusan yang dikirim dari Kuala Lumpur itu mengandungi dadah disyaki ganja seberat 139.09 gram dengan anggaran nilai pasaran sekitar RM1,000.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis JSJN IPK Sabah telah membuat serbuan di rumah suspek di Taman BPL, Jalan Penampang, dan menahan seorang lelaki warga tempatan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kediaman dan tubuh badan suspek tidak menemui sebarang barang terlarang lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) manakala semakan mendapati tiada rekod lampau berkaitan kes dadah.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku bungkusan parcel berkenaan adalah miliknya yang dipesan dari Kuala Lumpur melalui aplikasi WhatsApp dengan harga RM1,000.
“Suspek turut mengakui mengetahui kandungan bungkusan itu adalah ganja dan menggunakannya untuk kegunaan sendiri,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama iPhone 15 Pro yang dipercayai digunakan dalam urusan pembelian dan penghantaran dadah terbabit.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara JSJN Sabah dan AKPS Malaysia yang berjaya menumpaskan taktik pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan pos,” katanya.
Alhusin menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba memperdayakan agensi penghantaran untuk membawa masuk dadah ke Sabah, malah tindakan lanjut akan diteruskan bagi membongkar rangkaian sindiket terlibat.
“JSJN Sabah akan terus memperhebatkan risikan dan operasi bagi menumpaskan modus operandi penghantaran parcel yang semakin kerap digunakan oleh pengedar dadah untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya. – Info X