Search

PRN17: Parti tempatan berebut kuasa? Apa bezanya parti nasional – pemerhati politik

October 20, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kewujudan banyak parti tempatan di Sabah wajar dilihat sebagai satu keunikan dalam sistem demokrasi dan cara berpolitik yang diamalkan di negeri ini.

Itu pendapat beberapa pemerhati politik yang antara lain berpandangan jika situasi berkenaan dilihat sebagai satu perebutan kuasa, ia tiada bezanya dengan parti nasional.

Ia kerana kata mereka bukan hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang ada dalam politik negara ketika ini, sebaliknya ada banyak lagi parti nasional lain yang sentiasa mencari peluang mendapatkan ‘kuasa’.

Mereka berpandangan, kewujudan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bersama pelbagai parti yang bernaung di bawahnya – PAS, BERSATU, GERAKAN, PKR, DAP dan AMANAH juga boleh digambarkan sebagai berebut kuasa.

“Jika itu situasinya, maka tidak adil kalau kewujudan parti tempatan yang banyak itu dilabel berebut kuasa kerana apa kurangnya BN bersama rakan parti nasionalnya, UMNO, MCA dan MIC dengan PN, PH dan parti komponen masing-masing, ia juga gambaran perebutan kuasa,” kata pendapat mereka.

Pemerhati politik menyifatkan parti-parti nasional itu juga bersaing sesama mereka di Sabah, jelas menggambarkan wujud juga perpecahan dan perebutan kuasa dalam kalangan parti nasional.

Bagi mereka tanggapan kononnya banyak parti politik di Sabah sebagai satu gambaran perpecahan dan perebutan kuasa hanya dilihat dari satu aspek tanpa melihat positifnya.

“Kita perlu melihat kehadiran parti politik yang banyak di Sabah sebagai satu keunikan sistem demokrasi ala Sabah, rakyat bebas menubuhkan parti sebagai satu hak asasi dan rakyat juga bebas memilih parti mana yang disukai.

“Persaingan dalam pilihan raya itu adalah amalan biasa sistem demokrasi, jika hanya satu parti atau gabungan yang wujud, itu bukan demokrasi namanya, itu boleh dianggap sebagai sosialis atau komunis,” kata mereka.

Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan sentimen parti tempatan yang dilaungkan menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17) sebagai umpan politik kerana banyak parti tempatan tetapi tidak satupun mampu bersatu.

Beliau menyebut, sehingga kini sekurang-kurangnya 10 parti tempatan Sabah yang diiktiraf secara sah pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), namun masing-masing berebut kerusi dan pengaruh.

Berikutan itu, Bung Moktar menyifatkan situasi itu sebagai bukan perjuangan rakyat, sebaliknya dilihat sebagai perebutan kuasa.

Beliau juga sebelum ini dilapor melabelkan parti tempatan sebagai ‘no class’ jika dibandingkan parti nasional, khususnya BN.

Pemerhati politik berpendapat, pemberian label seperti itu tidak wajar dibuat ahli politik berpengalaman, lebih-lebih lagi dari parti nasional yang paling lama berkuasa.

Kata mereka, parti nasional seharusnya menumpukan pengalaman dan kejayaan ketika mereka berkuasa sebagai bukti mengapa rakyat perlu terus menyokong mereka.

“Rakyat menilai apa yang dibuat oleh parti yang pernah memerintah, dulu BN, kemudian Warisan dan sekarang GRS. Adakah dulu di bawah BN, Sabah benar-benar membangun?

“Adakah dulu ketika BN menerajui kerajaan tiada jalan berlubang, tiada masalah air dan elektrik tetapi sekarang menyalahkan kerajaan hari ini?

“Adakah semua kawasan di Sabah tiada yang ketinggalan dari segi kemajuan ketika BN menerajui negeri ini atau hanya sekarang baru muncul daerah ketinggalan seperti Kinabatangan dan lain-lain daerah?

“Persoalan ini wajar difikirkan sebelum merendah-rendahkan parti tempatan, ia tidak bagus dari segi hubungan harmoni kita di Sabah, biarlah parti tempatan dan nasional bersaing secara sihat dan adil,” kata mereka. – Info X