Search

KERAJAAN KOMITED PELIHARA, PULIHARA ALAM SEKITAR SABAH

May 30, 2022

admin

PENAMPANG: Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) amat komited dalam memelihara dan memulihara alam sekitar di negeri ini.

Katanya, mengambil kira kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar,  kerajaan memperuntukkan sejumlah RM227.4 juta kepada sektor pelancongan  di negeri ini dalam Belanjawan Sabah 2022.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM131.93 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta jabatan dan agensi di bawahnya.

“Ini adalah  antara komitmen berterusan Kerajaan untuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam  sekitar, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan setiap komponen  dalam mewujudkan kelestarian hijau akan dapat diberikan perhatian yang sewajarnya,”
katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan sambutan perayaan Pesta Kaamatan  peringkat negeri Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), di sini, hari ini.

Hajiji berkata, negeri Sabah juga diberikan penghormatan selaku tuan rumah bagi acara  Kongres Taman-Taman Asia kedua yang diadakan di Kota Kinabalu minggu lalu, anjuran bersama dengan International Union for the Conservation of Nature (IUCN).

“Saya menyeru seluruh rakyat untuk sentiasa menjaga alam semula jadi, flora dan fauna  yang ada di negeri ini.

“Seperti yang dilaporkan oleh media, banyak bencana alam  berlaku berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu di seluruh dunia, termasuk di  negara kita.

“Keadaan ini sudah pasti turut mempengaruhi hasil pengeluaran makanan yang  akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan tema perayaan Pesta Kaamatan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Menjiwai  Alam Semula Jadi’ amat tepat terutama sekali  dengan pelbagai fenomena akibat perubahan iklim dunia pada masa kini.

Katanya, dengan tema itu diharapkan ia dapat memberi kesedaran dan peringatan
kepada semua lapisan masyarakat untuk memelihara dan memulihara alam semula jadi  yang  diwarisi untuk generasi akan datang.

Hajiji berkata, Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun oleh masyarakat Kadazan,  Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) merupakan budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

“Pesta ini bukan sahaja bertujuan melahirkan rasa kesyukuran atas hasil
tuaian yang baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul  dan mengeratkan silaturahim.

“Saya percaya setelah sebulan pesta ini berlangsung, ia telah memperkukuh dan
memantapkan lagi semangat perpaduan, persaudaraan, persahabatan dan semangat
kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai suku, kaum dan budaya.”

“Kepelbagaian etnik di Sabah yang boleh duduk semeja tanpa mengira sentimen agama  dan bangsa adalah gambaran dan semangat sebenar Keluarga Malaysia yang perlu  dikekalkan dan dipelihara selamanya,” katanya.

Terdahulu, Hajiji turut mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM3.5 juta bagi projek pembesaran  Dewan KDCA, gerai makan dan kerja-kerja berkaitan. – Info X