PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya masih dalam proses menimbangkan keputusan untuk mempertahankan atau tidak kerusi DUN Tanjung Keramat yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17).
Pertimbangan itu termasuk kemungkinan beliau disaman Barisan Nasional (BN) jika bertanding atas tiket parti lain kerana beliau ketika ini masih berstatus Ahli Parlimen BN selepas memenangi kerusi Parlimen Putatan pada PRU15, November 2022.
Katanya, beliau masih ada ruang untuk membuat sebarang keputusan, sama ada bertanding atau tidak menggunakan lambang parti lain setelah BN Sabah menegaskan tidak mencalonkan dirinya atas alasan digantung keahlian.
“Saya mengambil maklum terhadap perkata itu dan masih dalam proses mempertimbangkan kedudukan politik. Dalam politik ini, tiga minggu adalah satu jangka masa yang agak lama, macam-macam boleh terjadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program penyerahan isentif kontinjen daerah Putatan yang menerima pingat pada kejohanan Sabah Games (SAGA), di sini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan Shahelmey dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy bahawa mereka bakal berdepan tindakan saman RM100 juta jika bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17. – Info X