KOTA KINABALU: Dunia kreatif Sabah terus berkembang pesat dengan pelancaran novel Mantera, karya adaptasi daripada filem tempatan berjudul sama yang pernah mencuri perhatian penonton tempatan.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffrey Jimir, yang turut menyempurnakan pelancaran rasmi karya berkenaan.
Menurut Julinus, pelancaran novel berkenaan menandakan langkah berani dalam memperluas karya filem ke dunia sastera, di samping memperkukuh usaha STB mempromosikan keindahan dan warisan negeri Sabah melalui medium kreatif.
“Filem Mantera bukan sekadar hiburan, tetapi mengandungi nilai budaya yang mendidik. Ia sesuai dijadikan bahan tontonan pendidikan, sekali gus memperkenalkan warisan Sabah serta menyemarakkan pelancongan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata, selain menonjolkan lokasi-lokasi menarik di negeri ini, STB turut menyokong penggunaan medium seperti filem dan buku sebagai alat promosi pelancongan yang lebih segar dan berimpak.
Antara lokasi yang mendapat perhatian dalam filem berkenaan ialah Jambatan Kampung Toboh di Tambunan, yang kini tersenarai sebagai jambatan gantung terpanjang di Sabah dan menjadi tarikan baharu pelancong selepas kemunculannya dalam Mantera.
Sementara itu, Dekan ASTiF UMS, Prof Dr Zairul Anuar Md Dawam berkata, pelancaran novel itu bertepatan dengan usaha UMS memperkukuh industri kreatif tempatan melalui pendidikan dan latihan.
“UMS kini menawarkan program pengajian filem dan telah menerima 35 pelajar kumpulan pertama. Pembangunan industri kreatif ini mampu membuka lebih banyak peluang baharu, khususnya kepada anak muda Sabah yang berbakat,” katanya.
Pengarah filem Mantera, Chester Pang, pula mendedahkan bahawa proses penulisan novel adaptasi itu mengambil masa hampir setahun, dengan penulis novel terkenal tanah air Zura Anwar dipertanggungjawabkan untuk menghidupkan semula kisah filem itu dalam bentuk karya sastera.
Sebelum ini, filem Mantera ditayangkan di 52 pawagam seluruh Malaysia dan sebuah pawagam di Brunei pada April lalu.
Majlis pelancaran turut dihadiri penerbit filem, Zahm Zulkifli, pelakon utama Jovenea Jim, wakil Perpustakaan Negeri Sabah, Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCEIC), serta pelajar ASTiF yang memeriahkan suasana acara berkenaan. – Info X