KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu mengenai penemuan dua diari milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dijumpai dalam begnya ketika seorang saksi mencari buku itu di almari arwah pada 16 Julai lalu.
Saksi kanak-kanak ke-28 inkues kematian Allahyarham Zara Qairina itu menawarkan diri mencari diari arwah apabila diminta oleh guru pada pagi 16 Julai lalu selepas kejadian arwah ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama.
Pasukan peguam mewakili ibu arwah yang diketuai Shahlan Jufri berkata sebelum itu beberapa pelajar memberitahu guru mengenai diari yang ditulis arwah Zara Qairina ketika mereka berkumpul di surau.
“Pada 16 Julai lalu, lebih kurang jam 11.15 pagi, saksi bersama beberapa orang pelajar senior dan junior berkumpul di surau bersama beberapa orang guru iaitu Cikgu Yuslina, Cikgu Fatimah, Cikgu Dayang Azirah dan Cikgu Gloria.
“Pada ketika itu, saksi mendengar beberapa pelajar memberitahu cikgu bahawa Zara menulis dan menyimpan buku diari, tetapi apabila cikgu meminta pelajar mencari buku itu, tiada pelajar yang berani menawarkan diri.
“Melihat keadaan itu, saksi menawarkan diri untuk membantu mencari buku diari milik Zara. Selepas itu, saksi bersama Cikgu Gloria pergi ke blok asrama Zara dan saksi naik sendirian ke bilik asrama Zara, manakala Cikgu Gloria menunggu di bawah.
“Apabila berada di dalam bilik Zara, saksi cuba membuka beberapa almari pelajar, tapi semua almari berkunci, kecuali satu almari yang dipercayai milik Zara. Saksi membuka almari dan mengecam ada baju bergantung dalam almari dengan tanda nama Zara,” katanya selepas prosiding hari ini.
Selepas menemui almari arwah Zara, saksi dikatakan memeriksa satu beg sekolah warna hitam dan menjumpai dua buku diari dalam poket besar beg berkenaan.
Katanya, saksi memberitahu mahkamah buku diari yang dijumpainya masing-masing berwarna hijau yang tertulis ‘Love & Peace’ dan buku berwarna ungu bertulis ‘Simple Style’.
“Saksi menyatakan ketika itu dia seorang saja ada bili asrama arwah Zara Qairina dan mengakui sempat membelek kedua-dua buku diari itu tetapi tidak membacanya dengan teliti.
“Saksi kemudian turun dan bergerak balik ke surau bersama Cikgu Gloria. Apabila di surau, saksi menyatakan dia menyerahkan buku-buku itu kepada Cikgu Yuslina.
“Saksi berkata dia nampak Cikgu Yuslina membaca sebahagian kandungan buku itu di hadapan pelajar lain sebelum menyimpannya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya saksi tidak tahu tujuan sebenar mereka diminta mencari diari arwah Zara dan dia tidak mengetahui atau ingat sama ada Zara menulis sebarang nota khusus di dalamnya. – Info X