KOTA KINABALU: Dua pemimpin lama, masing-masing pernah berkhidmat sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan menteri persekutuan hampir pasti bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Kedua-dua pemimpin berstatus presiden parti itu dikatakan bakal mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi yang mereka pernah bertanding tapi tewas pada PRU Sabah Ke-16 pada 2020.
Bezanya pada masa itu kedua-dua mereka tidak berada dalam kumpulan parti yang membentuk GRS, namun kali ini sudah menjadi sebahagian daripada gabungan berkenaan dan sama-sama menjadi Timbalan Pengerusi GRS.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman itu, masing-masing dijangka diumumkan sebagai calon GRS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan dan DUN Bongawan.
Di Pintasan, Pandikar terpaksa mendapatkan laluan daripada penyandang kerusi itu, Datuk Fairuz Renddan yang juga Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), rakan komponen terbesar dalam GRS.
Sebagai penyandang, Fairuz sudah pasti mahu mempertahankan kerusi berkenaan, namun keputusan sama ada beliau dikekalkan atau sebaliknya terletak di tangan Presiden Gagasan Rakyat yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Difahamkan, Pandikar sudah mendapat ‘kelulusan’ untuk bertanding atas tiket GRS di kerusi DUN Pintasan dan jika berita itu sahih, ia bermakna Fairuz perlu berlapang dada memberi laluan kepada pemimpin senior itu.
Pada PRU Sabah Ke-16, Fairuz memenangi kerusi DUN Pintasan dengan majoriti 84 undi setelah mendapat 2,744 undi menewaskan Pandikar yang memperoleh 2,660 undi selaku pencabar terdekat dalam pertandingan enam penjuru.
Bagi PRU Sabah Ke-17, kerusi DUN Pintasan dijangka menyaksikan persaingan sengit di antara GRS, Barisan Nasional (BN), Parti Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) selain kemungkinan calon dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan parti kecil lain serta calon bebas.
Di kerusi DUN Bongawan, Anifah dijangka sekali lagi mencabar penyandang kerusi itu, Dr Daud Yusof dari Warisan, selain turut berdepan saingan calon BN, PKDM, STAR dan parti kecil lain, selain kemungkinan calon bebas.
Pada PRU Sabah Ke-16, Anifah yang mendapat 3,598 undi tewas di tangan Dr Daud yang memperoleh 5,400 undi membolehkan Warisan mengekalkan kemenangan di kerusi itu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Turut tewas pada masa itu ialah calon BN dan Parti Liberal Demokratik (LDP).
Sebelum 2020, Anifah yang juga bekas Menteri Luar hanya pernah bertanding di kerusi Parlimen Kimanis atas tiket BN yang disandangnya sejak 2004 sebelum hilang kerusi selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan PRU14 bagi Parlimen Kimanis menyebabkan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan pada Januari 2020.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS dijangka mengumumkan calon mewakili gabungan itu pada 12 November ini. – Info X