Search

PRU Sabah: AirAsia digesa tawar tambang ulang alik bawah RM300 sebagai tanggungjawab sosial

November 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah menggesa syarikat penerbangan AirAsia menawarkan tambang yang lebih rendah kepada rakyat Sabah untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November ini.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata walaupun syarikat itu baru-baru ini mengumumkan promosi khas ‘Jom Balik Undi’ dengan tambang serendah RM299 sehala, kadar itu masih tinggi.

Katanya, kadar tambang promosi itu masih terlalu tinggi bagi kebanyakan rakyat Sabah di Semenanjung khususnya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Berikutan itu, katanya AirAsia wajar menurunkan lagi kadar tambang yang ditawarkan kepada di bawah RM300 pergi dan balik sebagai tanda tanggungjawab sosial korporat kepada rakyat Sabah, lebih-lebih lagi sebelum ini syarikat itu pernah menerima pembiayaan daripada Sabah Development Bank (SDB).

“Dengan kadar promosi RM299 sehala itu, perjalanan pergi balik Sabah-Semenanjung mencecah sekitar RM598 seorang, belum termasuk caj bagasi, cukai lapangan terbang, dan perbelanjaan lain.

“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini, ditambah tekanan kos sara hidup dan kuasa beli rakyat yang semakin menurun mampukah rakyat biasa menanggung hampir RM600 hanya untuk pulang mengundi?

“Lebih-lebih lagi apabila diimbas kembali bahawa AirAsia pernah menerima pembiayaan sebanyak RM300 juta daripada Sabah Development Bank (SDB) ketika pandemik COVID-19, kelulusan yang diberi ketika pentadbiran bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Setakat ini, jumlah bayaran balik kepada SDB hanya sekitar RM170 juta, bermakna masih terdapat baki besar yang belum dilunaskan kepada institusi kewangan milik kerajaan negeri Sabah itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Libaran itu berkata, atas dasar moral dan keadilan sosial, adalah wajar bagi AirAsia menunjukkan tanggungjawab kepada negeri yang pernah membantunya bertahan dengan menawarkan tambang khas bawah RM300 pergi balik bagi pengundi Sabah untuk balik mengundi.

Katanya, dari sudut ekonomi dan tanggungjawab korporat, langkah itu membawa kesan positif iaitu menunjukkan kepekaan moral bahawa bantuan dana negeri kepada syarikat korporat akhirnya kembali kepada rakyat, bukan hanya untuk keuntungan.

“Justeru, Datuk Seri Shafie Apdal wajar tampil menyeru agar AirAsia menyalurkan subsidi tambang khas kepada rakyat Sabah yang ingin pulang mengundi.

“Jika dana RM300 juta daripada Sabah Development Bank pernah membantu syarikat ini bertahan di waktu sukar, maka menurunkan harga tiket kepada bawah RM300 untuk rakyat Sabah pulang mengundi bukanlah beban tetapi satu bentuk tanggungjawab sosial,” katanya. – Info X