Search

SAFVA, MyPOST jalin kerjasama strategik perkasa pasca-produksi Sabah

November 7, 2025

Info X Reporters

KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh bidang pasca-produksi di Sabah terus diperhebat apabila Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) memeterai Surat Niat (LoI) bersama Persatuan Profesional Pasca-Produksi Malaysia (MyPOST), baru-baru ini.

Langkah itu menjadi titik permulaan kerjasama strategik ke arah mempertingkatkan kecekapan tenaga mahir dalam industri pasca-produksi, selain menyelaras standard kualiti penyuntingan di seluruh negara.

Presiden SAFVA, Chester Pang berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan persatuan itu dalam memperluas jaringan dengan pertubuhan serta institusi berpengalaman di peringkat nasional.

“Kerjasama ini akan membantu mempercepatkan pembangunan kemahiran modal insan dalam industri kreatif perfilman Sabah.

“Ia juga langkah proaktif untuk mengangkat bakat tempatan agar setanding dengan standard kebangsaan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurut Chester, LoI itu menggariskan tiga objektif utama iaitu penyeragaman dan advokasi standard profesional (Elevate Professional Standard), pembangunan kapasiti serta integrasi teknologi (Enhance Knowledge Skills), dan merapatkan jurang bakat (Talent Pipeline Development).

Sementara itu, Pengerusi MyPOST, Tc Isazaly Mohd Isa berkata, pihaknya menyambut baik persefahaman berkenaan dan akan menumpukan pendekatan pemindahan ilmu yang lebih efektif dan kos rendah.

“Melalui kerjasama ini, MyPOST akan menyediakan khidmat nasihat serta latihan yang dirangka secara fleksibel termasuk secara dalam talian dan bersemuka.

“Pendekatan ini penting untuk meningkatkan tahap profesionalisme pembikin filem dan penerbit di Sabah,” katanya.

Sebagai langkah susulan, kedua-dua pihak akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjamin hubungan jangka panjang, di samping merancang dua bengkel utama pada awal tahun depan, masing-masing berfokus kepada Peningkatan Profesional (Perniagaan dan Pematuhan) serta Peningkatan Pengetahuan dan Kemahiran (Kreatif dan Teknikal).

Majlis pemeteraian turut disertai barisan kepimpinan kedua-dua persatuan.

SAFVA diwakili Zahm Zulkifli (Naib Presiden), Jade Morris (Setiausaha Agung), Gregory Giting (Exco) dan Nadira Ilana (Ketua Biro), manakala MyPOST oleh Andy Alias (Timbalan Pengerusi), Nik Haslinda Hew (Bendahari), Taza AlJafree (Penolong Bendahari) dan Yasser Selamat (Ahli). – Info X