KOTA KINABALU: Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi terhadap tuntutan hasil 40 peratus Sabah.
Keputusan bertarikh 17 Oktober
2025 itu menegaskan hak perlembagaan Sabah terhadap geran khas 40 peratus bagi tahun 1974 hingga 2021 daripada Kerajaan Persekutuan.
Melalui satu kenyataan pada Jumaat, Majlis Presiden GRS dalam mesyuaratnya berkata pihaknya mengambil maklum alasan penghakiman yang disampaikan oleh mahkamah pada Jumaat.
“Perkara ini bukan sekadar isu perundangan, ia adalah soal maruah perlembagaan. Artikel 112C dan Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan, bersama-sama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah asas utama kepada persetujuan Sabah dalam pembentukan Malaysia.
“Penghakiman ini hanyalah pelaksanaan terhadap apa yang telah sekian lama termaktub dan dipersetujui.
“Atas sebab itu, kami menggesa YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan agar tidak merayu keputusan tersebut.
“Mahkamah tidak mengenakan sebarang penalti kewangan, sebaliknya hanya mengarahkan supaya semakan perlembagaan yang tertangguh sekian lama dilaksanakan selaras dengan Artikel 112C dan Artikel 112D.
“Untuk merayu keputusan ini bererti menolak proses rundingan itu sendiri, bukan hasilnya,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Kenyataan itu menyebut, berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor segera mengarahkan Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi Sabah (EPU), dan Jabatan Peguam Besar Negeri untuk meneliti dengan terperinci alasan penghakiman itu.
Katanya, Kerajaan Negeri bersedia untuk mengadakan rundingan bermakna dengan Kerajaan Persekutuan selaras dengan perintah mahkamah bagi melaksanakan semakan dan memuktamadkan perjanjian mengenai jumlah yang sewajarnya diterima oleh Sabah.
“Sejak sekian lama, rakyat Sabah dari Pitas hingga Pensiangan hidup dengan gangguan bekalan elektrik, jalan raya yang tidak berturap dan klinik tanpa doktor.
“Bukan kerana kurang usaha atau kemampuan, tetapi kerana sumber yang sepatutnya menjadi hak Sabah tidak disalurkan sepenuhnya.
“Apabila lampu terpadam di bilik darjah seorang anak, apabila seorang ibu terpaksa berjalan berjam-jam untuk ke hospital, apabila golongan muda meninggalkan negeri ini kerana tiada masa depan di sini, semua itu bukan sekadar angka statistik.
“Ia adalah kesan nyata daripada ketidaksamarataan yang telah berlarutan selama beberapa dekad,” katanya.
Dalam hal itu, Majlis Presiden GRS memberi jaminan kepada Perdana Menteri bahawa mengenai komitmen Hajiji terus mengekalkan hubungan kerja yang konstruktif dan penuh hormat dengan Putrajaya.
“Kami berdiri teguh menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada YAB Perdana Menteri. Sebagai rakyat Malaysia, kami berbangga dengan kepimpinan beliau yang berwibawa dan telah mengangkat martabat negara di persada antarabangsa.
“Pendekatan Perdana Menteri yang berteraskan keterangkuman, keterbukaan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat Sabah amat kami hargai.
“Melalui komitmen beliau dan pentadbirannya terhadap Sabah, kerajaan GRS telah berjaya memperoleh 13 daripada 29 tuntutan MA63 daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Majlis Presiden GRS turut menegaskan semula tekad GRS yang mutlak dan tidak berkompromi dalam memperjuangkan bagi pihak lebih tiga juta rakyat Sabah, segala manfaat dan hak di bawah Perlembagaan Persekutuan serta MA63, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan bertarikh 17 Mei 2024.
Jelas kenyataan itu, kemenangan berkenaan bukan sekadar angka dalam lembaran kewangan, sebaliknya melambangkan pemulihan keyakinan terhadap keadilan bagi setiap rakyat Sabah yang telah lama disuruh menunggu tahun demi tahun untuk menikmati keperluan asas yang telah lama dinikmati rakyat di negeri lain.
“Ia mengenai usaha memastikan tiada kampung yang terus bergelap, tiada sekolah tanpa kemudahan sempurna dan tiada komuniti yang terus tertinggal hanya kerana dana yang sepatutnya menjadi hak Sabah tidak pernah sampai.
“Tuntutan Sabah bukanlah satu permintaan, tetapi satu hak. Ia adalah tanggungjawab perlembagaan yang melangkaui kerajaan dan penggal politik.
“Menegakkannya membuktikan bahawa Malaysia ditadbir berasaskan undang-undang dan kejujuran, bukan atas dasar keselesaan atau kemudahan.
“Biarlah detik ini menjadi titik permulaan di mana Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menunaikan janjinya, tetapi juga mula menyembuhkan luka akibat puluhan tahun rasa terpinggir yang dialami oleh rakyat Sabah,” katanya.
Majlis Presiden GRS yakin Perdana Menteri akan dikenang seluruh rakyat Sabah dan Malaysia sebagai seorang pemimpin yang benar-benar prihatin. – Info X