KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan enam calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah (PRU Sabah) ke-17, pada 29 November ini.
Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee bagaimanapun tidak bertanding, namun dua anaknya adalah antara muka baharu yang ditampilkan parti itu pada pilihan raya kali ini.
Mereka ialah Naib Ketua Pemuda SAPP, Yong Yit Jee yang akan bertanding di kerusi DUN Likas dan Ketua Mudanita SAPP, Yvonne Yong Yit Phung yang akan bertanding di kerusi DUN Segama.
Calon selebihnya ialah Timbalan Presiden SAPP, Datuk Edward Dagul (DUN Limbahau); Timbalan Presiden yang juga Bendahari Agung SAPP, Datuk Japiril Suhaimin (DUN Kundasang); Naib Presiden SAPP, Gee Tien Siong (DUN Luyang) dan Naib Pengerusi CLC SAPP Tanjung Papat, Henley Liew (DUN Tanjung Papat)
Keputusan pemilihan enam calon parti itu dimuktamadkan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Majlis Tertinggi (AMT) SAPP, pada Jumaat.
Yong berkata, pemilihan enam calon itu menampilkan gabungan pengalaman dan tenaga baharu, termasuk wakil generasi muda dan wanita, selaras hala tuju SAPP untuk memperkukuh suara rakyat Sabah dalam pentas politik negeri.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap barisan pemimpin yang diketengahkan mampu membawa mesej perjuangan autonomi dan pembangunan Sabah secara lebih berkesan. – Info X