Search

JSJN Sabah perangi dadah, lindungi generasi

November 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, menegaskan bahawa dadah kekal sebagai musuh nombor satu negara dan menuntut seluruh warga JSJN memperkukuh tekad dalam usaha memeranginya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Perjumpaan Pengarah JSJN bersama warga JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, yang berlangsung selama dua jam di Auditorium Tingkat 5 IPK Sabah, semalam.

Turut hadir Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil bersama 141 pegawai dan anggota JSJN dari seluruh daerah, termasuk wakil Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND).

Dalam amanatnya, Hussein menekankan bahawa usaha memerangi dadah perlu dilaksanakan secara habis-habisan dan tindakan penguatkuasaan JSJN mesti mencerminkan kesungguhan memerangi ancaman itu.

Datuk Hussein Omar Khan menyampaikan amanat sempena Majlis Perjumpaan Pengarah JSJN bersama warga JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Auditorium Tingkat 5 IPK Sabah, Kota Kinabalu.

“Dadah adalah perosak bangsa dan menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi negara ini daripada musuh yang merosakkan generasi masa depan. Setiap warga JSJN perlu menanam tekad ini dalam diri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perubahan positif mesti bermula daripada diri sendiri supaya dapat melahirkan mutu kerja yang cemerlang serta memperkukuh prestasi JSJN di semua peringkat, nasional, negeri mahupun daerah.

“Setiap tindakan perlu berkesan dan konsisten. JSJN mesti memainkan peranan utama mengekang kemasukan bekalan dadah ke negara ini melalui pendekatan penguatkuasaan yang berterusan,” tegasnya.

Datuk Hussein Omar Khan menyampaikan cenderahati kepada Alhusin sempena Majlis Perjumpaan Pengarah JSJN bersama warga JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Auditorium Tingkat 5 IPK Sabah, Kota Kinabalu.

Katanya, perjumpaan bersama pucuk pimpinan tertinggi JSJN itu diharap menjadi pendorong kepada seluruh warga jabatan untuk terus berkhidmat dengan semangat dan iltizam tinggi dalam melindungi generasi daripada ancaman najis dadah. – Info X