Search

LELAKI TERJUN LAUT ELAK DICEKUP, BOT SARAT DENGAN MUATAN MINYAK MASAK

June 2, 2022

admin

SEMPORNA: Seorang lelaki nekad terjun ke dalam laut bagi mengelak ditahan pihak berkuasa selepas bot pam yang dikemudinya sarat dengan muatan hampir satu tan minyak masak.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi semalam itu, bot pam itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota bot peronda Maritim Malaysia Semporna di lokasi 0.7 batu nautika timur laut, di Pulau Kulapuan.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, ketika dihampiri, tekong bot telah bertindak mengemudi bot ke kawasan cetek dan terjun sebelum melarikan diri ke daratan berhampiran.

“Pemeriksaan ke atas bot menemui lebih kurang satu tan minyak masak dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin bernilai RM8,000,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Norrimi berkata, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot dan dalang di sebalik kegiatan ini.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi.

“Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan ‘hotspot terutamanya sekitar sempadab perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI ke Sabah melalui jalan laut,” katanya.

Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999. – Info X