Search

PRU Sabah: Bebas pilih parti diwakili, itu hak demokrasi – KM

November 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan keputusan dua bekas pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang kini menjadi calon PKR adalah hak demokratik yang harus dihormati.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, setiap individu dalam sistem politik bebas membuat pilihan terhadap parti yang ingin diwakili dan perkara itu mencerminkan amalan demokrasi sihat di Sabah.

“Sudah tentu itu hak demokrasi mereka untuk memilih parti yang ingin diwakili. Mereka memilih untuk bertanding atas tiket PKR. Secara kebetulan, PKR juga rakan gabungan dalam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan Maybank, berkaitan pembiayaan projek Ekonomi Biru Sabah, di Menara Kinabalu pada Isnin.

Ketua Menteri mengulas tindakan Datuk Jamawi Jaafar dan Datuk George Hiew yang sebelum ini adalah pemimpin Gagasan Rakyat, tapi dinamakan sebagai calon PKR.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah kepada GRS atau Gagasan Rakyat, kerana ia mencerminkan keunikan dan dinamika politik negeri Sabah.

“Bagi saya, tiada masalah, inilah dinamika politik di Sabah. Kedua-dua individu berkenaan kini secara rasmi adalah calon PKR dan bukan lagi mewakili Gagasan Rakyat.

“Kami sudahpun melepaskan mereka. Apa lagi yang boleh dilakukan? Itu hak mereka dan kita menghormatinya. Kita tidak boleh menghalang, itu sebahagian daripada demokrasi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Gagasan Rakyat akan tetap menyokong mereka sebagai calon dari komponen Kerajaan Perpaduan.

“Jadi, biarlah begitu. Kita tetap akan memberikan sokongan kerana mereka adalah calon Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Sementara itu, Hajiji enggan mengulas mengenai tindakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang melepaskan jawatan dalam Kabinet Persekutuan kerana didakwa tidak sependapat dengan pendirian Kerajaan Pusat.

“Saya tidak boleh memberi komen lanjut. Kami sudahpun mengeluarkan kenyataan. Jika boleh, kami berharap Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan. Namun, jika mereka ingin membuat rayuan, itu adalah keputusan mereka,” katanya.

Terdahulu, Hajiji menyaksikan sesi menandatangani perjanjian antara Kerajaan Negeri dan Maybank bagi pembiayaan projek Ekonomi Biru, satu inisiatif baharu kerajaan negeri untuk merancakkan pembangunan sektor ekonomi berasaskan sumber maritim di Sabah. – Info X